Keputusan menyokong cadang­an Kementerian Pendidikan itu dicapai sebulat suara membabitkan 73 ahli Exco NUTP dalam Mesyua­rat Ahli Majlis Kebangsaan NUTP Ke-9 yang diadakan hari ini.
Presidennya, Kamarozaman Abd. Razak berkata, langkah itu juga diambil bagi mengelakkan pelajar tertekan dengan keputusan akademik semata-matanya dan mahu penilaian dilaksanakan berdasarkan pencapaian sebenar golongan tersebut.

“Kami setuju dengan saranan UPSR dimansuhkan dengan syarat Kementerian Pendidikan merujuk kepada NUTP apabila kajian telah dilakukan.

“NUTP akan bersama-sama untuk membantu bagaimana UPSR dimansuhkan selain membuat penambahbaikan terhadap pentaksiran berasaskan sekolah supaya ada instrumen yang dapat membantu guru-guru ke arah kecemerlangan murid,” katanya dalam sidang akhbar mengenai isu UPSR di sini hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya akan memuktamadkan sama ada memansuhkan UPSR atau sebaliknya pada tahun depan.

Menurut beliau, cadangan tersebut masih dalam proses perbincangan di peringkat kementerian selain dipertimbangkan dengan mengambil kira pandangan ahli akademik tempatan, modul-mo­dul luar negara yang diketengahkan seperti Perancis, Finland dan Korea Selatan dan agensi berkaitan se­lain guru-guru berpengalaman di sekolah.
Mengulas lanjut, Kamarozaman berkata, NUTP juga akan menjalankan beberapa kajian berhubung perkara itu dan akan mengemukakan kepada kementerian.

Selain itu, katanya, tindakan bersetuju dengan cadangan pemansuhan itu dibuat atas keputusan NUTP sendiri tanpa mendapat maklum balas daripada ibu bapa namun percaya pandangan itu turut dikongsi oleh kebanyakan golongan itu berdasarkan maklum balas daripada mereka terdahulu.

“Walau bagaimanapun, keputusan untuk memansuhkan UPSR bukan bermaksud pelajar tidak akan dinilai langsung, mereka malah akan ada penilaian khas seperti ujian berasaskan pentaksiran di sekolah masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Kamarozaman juga memohon Lembaga Peperiksaan dan Bahagian Kurikulum Kementerian Pendidikan untuk mendedahkan kepada umum mengenai skema pemarkahan termasuk cara pemarkahan atau pemberian gred dilakukan untuk UPSR bagi menangkis tanggapan umum berikutan keputusan peperiksaan yang dilaporkan menurun pada tahun ini.

“Masyarakat melihat kualiti pengajaran dan pembelajaran guru seolah-olah keputusan peperiksaan itu menggambarkan prestasi guru. Di peringkat sekolah, kita mengenal pasti prestasi murid kerana kita ada data dan pemarkahan yang tepat tetapi berbeza dengan UPSR, guru-guru tidak tahu mengenai skema markah tersebut. Jadi apabila keputusan peperiksaan itu keluar, guru dipersalahkan,” katanya.